Asal Usul Nama Gerik
Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat sekarang yang bernama Gerik itu masih diliputi hutan belantara dan masih terletak bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870, beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai, lalu meneroka hutan di kuala sungai tersebut bagi dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tuan bernama Tok 'Ad (Tok Sa'ad).
Tidak berapa lama selepas itu, Raja Reman yang bernama Tuan Jagong datang berburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Baginda mendengar cerita bahawa tidak jauh dari situ ada kampung orang terletak di tengah-tengah hutan.
Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda mendengar suatu bunyi yang ganjil terbit dari perdu serumpun buluh. Baginda memerintahkan supaya dipagar keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orangnya menggali di situ untuk mengetahui apakah benda yang mengeluarkan bunyi yang ganjil itu.
Setelah habis digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan sedang menggerit umbi buluh. Oleh kerana umbi buluh itu sangat keras, maka terbitlah bunyi yang berkerit-kerit apabila digerit oleh dekan-dekan itu.
Raja Reman telah menamakan tempat itu Kampung Gerit. Sebutan 'Gerit' itu telah digunakan beberapa lama dan kemudiannya sebutan dan ejaannya diubah daripada 'Gerit' menjadi 'Grik', kemudian menjadi 'Gerik' seperti yang digunakan sekarang.
dekan : sejenis haiwan seakan-akan tikus; masih boleh ditemui di hutan Belum.
- << Seterusnya
- Seterusnya