Castella Cafe

 

 

Mohd Isa Bin Mohammed Ramli (42), atau lebih dikenali sebagai “Tok Janggut Putih” seorang usahawan OKU merupakan anak tempatan yang berusaha mempopularkan semula masakan ikan Sungai Temenggor dan Tasik Banding. Makanan ini disediakan dengan kaedah dan resipi tradisional Melayu Hulu Perak yang kini semakin dilupakan. 

 

Sejarah

Bermula daripada berniaga kecil-kecilan seperti menjual ‘buah potong’ kemudian beralih kepada perusahaan membuat ikan pekasam. Hasil daripada perniagaan yang tidak seberapa ini, beliau mengorak langkah meneroka bidang perniagaan makanan Melayu Patani dan tempat riadah. Tercetus idea penubuhan Castella Café  dengan konsep dangau buluh, dibuka oleh beliau untuk mereka yang mahu menikmati hidangan yang sememangnya tidak ada di tempat lain.

Menu

Menu hidangan Castella Café dihasilkan dengan kaedah tradisi mengikut disiplin semulajadi. Masakan utamanya adalah ikan-ikan sungai yang segar diambil dari peraih-peraih di Sungai Temenggor dan Tasik Banding. Ikan Sebarau, Ikan Tengas dan ‘Raja Ikan Air Tawar’ Ikan Kelah terkenal dengan kesedapan tekstur isinya. Ikan-ikan ini amat sesuai dengan menu masakan Castella Café seperti ‘Gulai Sakai’ (Gulai Masam), Masak Lemak Cili Api, ikan pekasam Tok Janggut dan ikan bakar. 

Selain itu, Castella Cafe juga menghidangkan ‘Salad Orang Melayu’ terdiri daripada umbut bayas atau umbut mereding,pucuk paku,pucuk ubi, dengan air lawar iaitu kuah kerabu yang diperbuat daripada kerisik mengikut cara tradisi orang Melayu zaman dahulu.

Menu hidangan dilengkapi dengan ‘Nasi Daun Bemban’ yang dimasak di dalam buluh tentunya mempunyai aroma yang menyelerakan. Pengunjung pastinya terpesona dengan cara penyediaan makanan yang diletakkan di dalam buluh. Castella Café juga menerima tempahan makanan mengikut citarasa pengunjung.

Biasanya pengunjung hendaklah membuat tempahan lebih awal kerana tempat yang disediakan terhad.

 

Air Beruk 

Lokasi Castella Café ini terletak 10km di pinggir pekan Gerik yang berlatar belakang alam semulajadi. Aliran sungai ‘Air Beruk’ yang bersih dengan udara nyaman melupakan seketika suasana hiruk-pikuk di bandar. Dangau Buluh (Pondok) yang dibina menyerlahkan lagi suasana landskap Castella Café.

Secara tidak langsung pengunjung dapat melakukan aktiviti riadah seperti mandi sungai, berakit, dan permainan tradisional yang termasuk di dalam pakej tempahan. Pengujung dapat melakukan aktiviti-aktiviti ini dengan lebih privasi.

Perancangan

Tok Janggut Putih berharap perniagaan Castella Café ini dapat berkembang maju di samping memperkenalkan produk makanan tempatan ke dunia luar. Beliau juga ingin menambahbaik ‘Dangau Buluh’ dan menyediakan perkhidmatan Homestay.