Sejarah Gerik

 

Dari catatan sejarah, orang yang mula-mula membuka Gerik ialah Tun Saban iaitu anak Tun Perak, bendahara Kesultanan Melaka pada awal kurun ke-16. Semasa kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis, Tun Saban berhijrah ke Hulu Patani dan kemudian berpindah ke Belum, Gerik. Beliau menjadi ketua masyarakat di Belum.

Gerik bersempadan dengan Negeri Reman di utara. Raja Reman menceroboh masuk ke Gerik dan menawan Klian Intan dan Kroh (Pengkalan Hulu). Menjelang kurun ke-19, sebahagian besar daerah Gerik telah ditakluki oleh Raja Reman. Pada tahun 1902, sistem pemerintahan beraja di Reman telah dihapuskan oleh kerajaan Siam dan daerah Gerik menjadi jajahannya.

Pada 9 Julai 1902, kerajaan Siam telah membuat perjanjian dengan kerajaan Inggeris untuk menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung bawah pemerintahan Inggeris. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Sir John Anderson (Gabenor Negeri-negeri Selat) dan Setiausaha Luar Negeri Siam. Antara syarat dalam perjanjian itu, kerajaan Siam hendaklah juga menyerahkan balik daerah Gerik yang telah diambil oleh Raja Reman dahulu kepada kerajaan negeri Perak. Istiadat penyerahan daerah Gerik itu telah berlangsung di Kroh pada 16 Julai 1909.